Sejarah Nasi minyak

Majlis perkahwinan dikatakan mula dijadikan budaya masyarakat seawal zaman tamadun Mesopotamia, kira-kira 2350 Sebelum Masihi (4,330 tahun yang lalu). Sebelum itu perkahwinan tidaklah jadi sebuah majlis, tetapi lebih kepada penyatuan keluarga sahaja.

Jadi tradisi nasi minyak ini bermula di Yaman, terutamanya orang Hadhrami. Orang Hadhrami tinggal di Hadhramawt, Yaman, yang merupakan orang yang membina tamadun Arab yang pertama, iaitu Tamadun Saba'.

Menurut pengkaji sejarah Asia Barat dari Universiti Liverpool, Kenneth Kitchen, tamadun Saba’ ini muncul sejak 1200 Sebelum Masihi di Ma’arib. Jadi budaya dari Mesopotamia ini datang ke Saba’ melalui jalan perdagangan. Dan di kawasan ini, mereka berdagang dengan orang di India, terutamanya di Tamadun Harappa.Perkahwinan kemudiannya dijadikan keraian, dan disambut sebagai pesta meraikan pasangan yang bakal menempuh cabaran apabila mempunyai keluarga. Ia kemudiannya dijadikan budaya oleh semua bangsa.

Salah satu makanan yang popular dari kalangan masyarakat Hadhrami ialah Nasi Mandi, iaitu nasi yang dimasak dalam tandoor iaitu periuk tanah liat. Adakalanya mereka masak di dalam tanah, dengan menggali lubang dan masak di dalamnya.Ia kemudiannya jadi budaya orang di India khususnya orang Malabar, iaitu menyambut majlis perkahwinan dengan memasak nasi mandi versi mereka, yang akhirnya jadi Nasi Briyani, yang berasal dari perkataan Parsi (birinj) yang bermaksud ‘nasi’. Jadi nasi biryani ialah ‘nasi nasi’.

Budaya ini tiba di Nusantara dari orang Afghanistan yang tiba di sekitar Betawi, yang membuat Kabuli Pilaf. Pilaf ialah masakan gaya zaman Abbasiyah, yang kemudiannya ke Sepanyol menjadi paella dengan menggunakan makanan laut. Jadi apabila makanan ini popular di Betawi, ia kemudiannya menjadi budaya orang Betawi membuat Nasi Kabuli yang berasal dari Kabuli Pilaf ini. Orang Betawi ini tinggal di Kesultanan Banten, yang termasuk juga dengan Lampung di Sumatera.

Ia kemudian menjadi popular apabila anak putera Sultan Palembang berkahwin, dan nasi Kabuli ini menjadi trend pada ketika itu di Alam Melayu. Ia kemudian merebak ke Inderagiri, Siak, Kampar, Riau, sehingga Johor. Johor, yang mempunyai masyarakat Hadhrami, juga memasak nasi ini. Disebabkan ia menggunakan minyak sapi (ghee), ia menyebabkan tangan sering berminyak apabila makan dan sukar disental. Memandangkan susah benar nak menyebut Nasi kabuli, orang Melayu panggil sahaja nasi minyak.